KEPENTINGAN MEMAHAMI MUMKINĀT DALAM ILMU KALĀM SUNNI

KEPENTINGAN MEMAHAMI MUMKINĀT DALAM ILMU KALĀM SUNNI 

Perbahasan berkenaan ketuhanan (atau Maha Pencipta) termasuklah secara berfalsafah (teologi) sudah lama dibahaskan, sejak adanya akal dalam diri manusia, dan sejak mereka memerhatikan kewujudan di sekelilingnya, ataupun memerhatikan hakikat diri sendiri, secara kritis dan mendalam. Para rasul menyampaikan risalah kepada umat mereka untuk menjelaskan tentang hakikat Tuhan dan hubungan manusia kepada Maha Pencipta tersebut.

Namun, ada masyarakat yang jauh daripada ajaran kenabian, tetapi sebahagian daripada mereka masih mempunyai ksedaran dalam diri, dan pemerhatian akal yang cerdas, ketika melihat diri dan alam ini, lalu cuba menjawab  persoalan, dari mana asalnya diri dan alam ini? Perbahasan ini turut merujuk kepada sesuatu hakikat di sebalik kewujudan kebendaan itu sendiri (metafizik).

Antara tokoh ahli Falsafah Yunani yang terkenal ialah Aristotle. Dalam buku beliau Metaphysics, beliau membahaskan tentang dalil-dalil logikal tentang kewujudan Maha Pencipta, yang disebut sebagai the first mover atau unmoved mover. Bagi beliau, alam yang bergerak ini pasti terhenti kepada Penggerak Pertama, yang mana Penggerak Pertama ini bersifat tidak bergerak lagi. Ia berkait rapat dengan kemustahilan al-Daur dan al-Tasalsul yang tidak dibahaskan di sini.

Sekurang-kurangnya, ini menunjukkan, dengan akal sahaja, seseorang boleh menetapkan adanya Maha Pencipta di sebalik kewujudan alam fizikal ini. Ini justeru membatalkan golongan Atheist yang menolak kewujudan Tuhan kerana tiada hujah logikal baginya, di samping menolak juga rujukan kitab semua agama.

Oleh kerana ajaran Islam menekankan kepentingan penggunaan akal, dalam masa yang sama juga mengajak kepada dialog kepada orang-orang bukan Islam, dengan Kalimah Sawā’ (wacana sejagat), antara kita (umat Islam) dan mereka (orang-orang bukan Islam), maka Kalimah Sawā’ lebih luas  ialah Kalimah ‘Aqliyyah atau bahasa Logikal, yang mana setiap orang yang berakal, boleh berfikir dengan asas-asas logik yang sama.

Maka, para ulama’ Islam mengembangkan ilmu ‘Aqīdah Islam (Kalām-Sunni) dengan memasukkan juga hujah-hujah Logikal, dan istilah-istilah yang digunapakai bagi melengkapkan hujah-hujah Logikal tersebut. Maka, dalam penghujahan asas bab Ketuhanan, para ulama’ Islam (Mutakallimūn) menggunakan pendekatan kewujudan makhluk menunjukkan kepada kewujudan Maha Pencipta (al-Khāliq).

Oleh itu, dimasukkan juga antaranya perbahasan al-Mumkināt dalam ilmu ‘Aqīdah Islam. Ini kerana, tujuan ilmu ‘Aqīdah Islam itu sendiri, dalam bab ketuhanan, ada tiga:Oleh itu, dimasukkan juga antaranya perbahasan al-Mumkināt dalam ilmu ‘Aqīdah Islam. Ini kerana, tujuan ilmu ‘Aqīdah Islam itu sendiri, dalam bab ketuhanan, ada tiga:

• Penetapan kepercayaan terhadap kewujudan Allah SWT sebagai Tuhan yang Maha Pencipta.

• Penetapan keesaan ketuhanan-Nya, iaitu dari sudut zat, sifat dan perbuatan-perbuatan-Nya.

• Penetapan kesempurnaan ketuhanan-Nya, iaitu menetapkan kesempurnaan bagi Zat, sifat-sifat, dan perbuatan-perbuatan-Nya, dengan kesempurnaan ketuhanan, dan mensucikan zat-sifat, dan perbuatan-perbuatan-Nya daripada segala bentuk kekurangan dan persamaan dengan makhluk dan kebaharuan.

Bahkan, sebahagian ulama’ menegaskan bahawa, asas kesempurnaan ma’rifah (pengetahuan) bagi ‘Aqīdah Ketuhanan bagi seseorang muslim adalah: dapat membezakan antara Tuhan yang Qadīm dengan segala kekhususan Qidam-Nya, dan makkhluk-makhluk yang baharu dengan segala kelaziman-kelaziman kebaharuannya, sehingga tidak menisbahkan apa yang dikhususkan kepada Tuhan yang Qadīm, kepada makhluk yang baharu, sebagaimana tidak juga menisbahkan apa yang dikhususkan kepada makhluk yang baharu, seperti kelaziman-kelaziman kebaharuan, kepada Tuhan Maha Pencipta.

Maka, untuk tujuan itulah, perbahasan dalil-dalil Logikal dibangunkan dalam ilmu ‘Aqīdah (Kalām-Sunni), serta istilah-istilah berkaitan dengannya, seperti Mumkin, Jā’iz, Jawāz, Hudūth, Jauhar, ‘Arad, dan sebagainya, dibahaskan dalam ilmu tersebut.

Kalimah Mumkin itu sendiri, secara istilahnya, merujuk kepada sesuatu yang boleh ada dan boleh tidak ada secara hakikat dirinya. Maksudnya, Mumkin ialah sesuatu perkara yang boleh ada, ataupun boleh tidak ada, dari segi Logik, yang mana ianya dihukum sebagai Jā’iz ‘Aqli (harus/boleh secara akal).

Jika Mumkināt itu diciptakan, maka ianya disebut sebagai Makhlūq (makhluk), sama ada Jauhar (diri makhluk) mahupun ‘Araḍ (sifat makhluk yang baharu tersebut) iaitu Mumkin yang diciptakan. Jika ianya tidak diciptakan, maka ianya kekal sebagai Mumkināt.

Dua fungsi perbahasan Mumkin ini adalah dari sudut:

• Pendalilan terhadap kewujudan Allah SWT.

• Pemahaman yang jelas bagi asas-asas Tanzīh Allah SWT.

Pertama: Pendalilan terhadap kewujudan Allah SWT. 

Dalil kewujudan Allah SWT secara Logik di sisi Mutakallimūn berkait rapat dengan Dalīl al-Hudūth (Argument from coming into being) dan Dalīl al-Imkān (Argument from Contingency). Ianya menjadi sebahagian daripada penghujahan Logikal para ulama’ Aqīdah Islam, yang turut diikuti oleh sebahagian ahli Falsafah Kristian di Barat seperti Thomas Aquinas (1225–1274 M) dan William Lane Craig (1949 – M) yang mana beliau sendiri menyebutnya sebagai Kalam Cosmological Argument.

Pengetahuan terhadap Imkān makhluk-makhluk yang wujud ini, dan kewujudannya setelah ianya tiada, serta perubahan-perubahannya, menunjukkan ianya memerlukan kepada Maha Pencipta.

Kedua: Pemahaman yang jelas bagi asas-asas Tanzīh Allah SWT.

 Sebagaimana difahami, asas-asas ‘Aqīdah Ketuhanan termasuklah konsep Tanzīh, iaitu penyucian Allah SWT dari sebarang bentuk kekurangan. Antara bentuk kekurangan adalah persamaan dengan makhluk atau kelaziman-kelaziman kebaharuan yang merupakan antara ciri-ciri khusus makhluk-makhluk (Mumkināt secara lebih khusus).

Oleh itu, pemahaman terhadap Mumkināt secara jelas, akan membawa kepada penetapan konsep Tanzīh yang sempurna, sebagaimana diisyaratkan oleh sebahagian ulama’ Islam. Dari sinilah, dibahaskan tentang Maqūlāt ‘Asyar, Jauhar, Jisim, ‘Araḍ, Harakah (pergerakan), Sukūn (pegun), dan sebagainya. Agar akhirnya, seseorang yang beriman benar-benar mempunyai pegangan Tanzīh dalam bab ‘Aqīdah Ketuhanan (al-Ilāhiyyāt), dan tidak terjebak dengan fahaman Tajsīm (menjisimkan Allah) dan Tasybīh (menyerupakan Allah SWT dengan makhluk).

 Di sinilah antara kepentingan perbahasan berkaitan Mumkināt ini penting dalam binaan Ilmu Kalām sebagai wacana sejagat dan penghujahan Logikal bagi Aḥkām ‘Aqā’idiyyah Ilāhiyyah (hukum-hakam ‘Aqīdah Ketuhanan) bagi ‘Aqīdah Islam. Bagi seorang penuntut ilmu, yang ingin memahami ilmu Kalām Sunni dengan baik, malah menguasainya, perlu memahami gambaran umum ini, sebagaimana ianya difahami oleh para Mutakallimīn Ahli Sunnah wal Jamā’ah sepanjang zaman.

Wallahu a’lam…

Disediakan oleh Al Fadhil Ustaz Raja Ahmad Mukhlish bin Raja Jamaludin Al Azhari

Scroll to Top